Oleh: Fahmi Tajuddin
KUALA LUMPUR: Tiga lelaki warga asing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan merompak secara berkumpulan seorang lelaki warga Jepun dengan jumlah RM130,000 di Ibu Negara awal bulan ini.
Tertuduh, yang terdiri daripada dua warga Siera Leone, Patrick Samba, 34, dan Ibrahim Jalloh, 36, serta seorang warga Liberia, Douglas Daniel Devine, 38, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Egusra Ali.
Mengikut pertuduhan, mereka bersama dua individu lain didakwa melakukan rompakan berkumpulan terhadap mangsa, Hiroyuki Azuma, 58, pada 9 Ogos lalu di hadapan sebuah restoran dalam pusat beli-belah The Gardens Mall, Mid Valley, sekitar pukul 1.30 petang.
Pertuduhan tersebut dikenakan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Izalina Abdullah, bagaimanapun tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kesemua tertuduh tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
Sementara itu, Peguam AR. Palaya, yang mewakili tertuduh, memaklumkan bahawa ketiga-tiga anak guamnya mempunyai dokumen perjalanan yang sah, sama ada disimpan oleh ejen mereka atau di kolej tempat mereka belajar.
Palaya juga memohon agar mahkamah menetapkan tarikh baharu yang singkat bagi pengesahan dokumen perjalanan.
Hakim Egusra Ali menolak permohonan jaminan dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 25 September depan untuk pengesahan dokumentasi.
Dalam kejadian itu, mereka dikatakan bertemu dengan mangsa bersama rakannya yang dipercayai berkaitan dengan urusan jual beli emas dan berlian.
Secara tiba-tiba, suspek menyerang mangsa dan rakannya hingga mengalami kecederaan ringan sebelum melarikan diri bersama wang tunai.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.