comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Tiga sahabat tak mengaku salah pecah pejabat, larikan wang tunai hampir RM1 juta

Tiga sahabat dibawa ke lokap mahkamah selepas didakwa melakukan pecah pejabat dan melarikan wang tunai RM900,000, pada Februari lalu. – Foto NSTP

MELAKA: Tiga sahabat dituduh di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, atas tuduhan memecah masuk pejabat syarikat keselamatan dan melarikan wang tunai RM900,000, Februari lalu.

Pemandu lori, Md Halim Lagis; pemandu van kesihatan pergigian, Aszemi Dol dan nelayan, Musliandee Mustapa Kamal, semuanya berusia 43 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama dua individu yang masih bebas, dituduh melakukan pecah dan masuk ke pejabat SRT-EON Security Services Sdn Bhd dan melarikan wang tunai RM900,000.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Taman TU2, Taman Tasik Utama, Ayer Keroh, pada 21 Februari lalu,  antara jam 12.30 tengah malam hingga 1 pagi.

Jika sabit kesalahan, semua tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 14 tahun dan bagi kesalahan kedua atau seterusnya, boleh dikenakan denda atau sebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, J Banusha, menawarkan jaminan RM20,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin, namun peguam, Muhammad Izzuddin Ab Malek dari Yayasan Bantuan Guaman merayu jaminan dikurangkan bagi ketiga-tiga tertuduh.

Muhammad Izzuddin berkata, tertuduh pertama sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak serta isteri kini mengandung lima bulan.

“Tertuduh kedua dan ketiga masing-masing mempunyai tanggungan tujuh dan dua anak,” katanya.

Mahkamah membenarkan ketiga-tiga tertuduh diikat jamin RM6,000 setiap seorang.

Sebutan semula kes ditetapkan 27 Jun depan .

Loading...
Terkini