comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Tikam telinga rakan dengan pemutar skru, pemandu lori dipenjara 6 bulan 

BATU PAHAT: Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 6 bulan ke atas seorang pemandu lori selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menikam telinga rakannya menggunakan pemutar skru.

Keputusan itu dibuat Majistret Suhaila Shafi’uddin terhadap Said Herito, 57, yang dituduh mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Suhaila mengarahkan hukuman bermula dari tarikh tertuduh ditahan.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada dua anak itu didakwa menggunakan suatu alat iaitu pemutar skru sebagai senjata untuk melakukan jenayah yang mungkin menyebabkan kematian di Kampung Petani, Jalan Minyak Beku, di sini, jam 3 petang, 26 Mac lalu.

Hukuman bagi seksyen ini adalah penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman terbabit.

Berdasarkan fakta kes, ketika pengadu berusia 44 tahun berada di rumahnya, tertuduh muncul dan memarahi sebelum berlaku pertengkaran.

Tertuduh kemudian bertindak mengambil pemutar skru lalu menikam dekat telinga rakannya itu hingga cedera.

Mangsa dibawa ke hospital untuk rawatan dan laporan perubatan juga mengesahkan kecederaan dialami mangsa.

Susulan itu, satu laporan polis dibuat mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat pada hari kejadian, sebelum polis bertindak menahan Said.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini