comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Tuduhan ubah wang haram RM7 juta, kes Rosmah dibicara mulai esok

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes Datin Seri Rosmah Mansor yang berdepan pertuduhan pengubahan wang haram RM7 juta dan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan bermula esok di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, K Muniandy .

Beliau menggantikan bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan yang dinaikkan pangkat menjadi Hakim Mahkamah Rayuan.

Tarikh ditetapkan bagi perbicaraan itu adalah pada 12 Mei, 28 dan 30 Jun, 6, 7, 28 dan 31 Julai, 1, 2, 11, 24 dan 25 Ogos serta 7 dan 8 September depan.

Pada 4 Oktober 2018, Rosmah, 72, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas 12 pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada LHDN.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, pendakwaan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama.

Bagi pertuduhan berkaitan LHDN, Rosmah didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan seperti diperuntukkan Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 dengan tiada sebab munasabah yang bertentangan Seksyen 112 akta sama.

Sebelum ini, Rosmah  menarik balik rayuan supaya Mohamed Zaini menarik diri daripada mendengar kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai dihadapinya di Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan notis pemberhentian difailkan firma guaman Tetuan Geethan Ram mewakili isteri kepada bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak itu pada 1 Mac lalu, Rosmah selaku perayu menarik balik rayuan difailkan melalui notis rayuan bertarikh 29 April 2022.

Justeru, rayuan berkenaan disifatkan sudah ditolak mengikut peruntukan dalam Aturan 73 Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994.

Pada 1 September 2022, Mohamed Zaini mendapati Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta .

Hakim itu turut memerintahkan Rosmah dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda.

Beliau bagaimanapun membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan yang akan didengar selama empat hari bermula 11 Julai depan.

Loading...
Terkini