
CHUKAI: Lima remaja bawah umur antara tujuh individu didakwa atas pertuduhan merogol dan meliwat remaja perempuan bawah umur pada Julai tahun lalu.
Ke semua mereka yang berumur antara 14 hingga 19 tahun itu mengaku tidak bersalah di dua mahkamah berasingan di sini selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd dan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa merogol dan melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa yang berusia 15 tahun.
Kesalahan dilakukan di sebuah rumah di Kijal, Kemaman antara jam 4 petang hingga 6.15 petang pada Julai 2022.
Dua tertuduh berusia 19 tahun masing-masing berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 377B KK didakwa di Mahkamah Sesyen manakala lima lagi tertuduh yang juga pesalah juvana didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan mengikut seksyen sama.
Bagi setiap kesalahan itu, kesemua tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, Wan Suhaila menetapkan 14 Disember depan bagi kes di Mahkamah Sesyen manakala 3 Januari depan ditetapkan bagi kes di Mahkamah Majistret sebagai tarikh sebutan semula kes.
Ke semua tertuduh dibenarkan diikat jamin RM3,700 hingga RM8,000.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azhani Azman manakala tertuduh diwakili peguam, Ahmad Ahnaf Zaimi.