MUAR: Seorang tukang cuci kenderaan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merogol remaja perempuan hingga melahirkan bayi, tahun lalu.
Ikhmal Rizza Abu Bakar, 30, berdepan dua pertuduhan, membuat permohonan maaf yang disampaikan melalui peguamnya ketika rayuan dikemukakan selepas pertuduhan dibaca jurubahasa di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa merogol remaja berusia berusia 16 tahun di sebuah pusat komersial di Bukit Gambir, Tangkak, antara jam 2 dan 3 petang, Julai hingga Ogos tahun lalu.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dengan penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan bagi setiap pertuduhan, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh mengenali mangsa yang juga pelajar melalui media sosial sebelum mengajaknya berjumpa di Bukit Gambir.
Sebaik tiba di lokasi, tertuduh memberi alasan untuk mengambil barang dalam bilik sewanya manakala mangsa menunggu di tangga bawah.
Bagaimanapun, tertuduh menarik tangan dan membawa mangsa masuk ke dalam bilik lalu mengunci pintunya.
Selepas kejadian pertama, tertuduh mengambil telefon mangsa. Beberapa hari kemudian, tertuduh meminta mangsa datang ke lokasi sama untuk mengambil telefon.
Mangsa tanpa berfikir panjang bergerak ke lokasi itu sebaliknya dia dirogol sekali lagi oleh tertuduh di tempat sama.
Susulan itu, mangsa disahkan hamil lapan bulan dan melahirkan bayi perempuan Mac lalu.
Malah, ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap bayi dilahirkan sepadan dengan DNA tertuduh serta mangsa.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir dan Diyana Najihah Muhamed Fauzi manakala tertuduh diwakili Amalia Marsita Hamdan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan dua sebatan bagi setiap pertuduhan dengan hukuman berjalan serentak bermula tarikh tertuduh ditahan 25 Ogos lalu.
Pada masa masa, mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani sesi kaunseling sepanjang dipenjara serta pengawasan polis dua tahun sebalik selesai hukuman selari dengan Seksyen 26 dan 27 AKKTSKK.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.