IPOH: Seorang tukang gunting rambut didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan memiliki 900 liter air ketum atau mitragynine, minggu lalu.
Tertuduh Jamal Mirdad Khairuddin, 41, memahami pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret S Punitha, namun pengakuan tidak direkodkan sementara menunggu laporan kimia.
Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa berada dalam kawalan, isipadu cecair 900 liter mengandungi Mitragynine yang disenaraikan dalam Jadual Pertama dan Jadual Ketiga (Bahan-bahan Psikotropik) Akta Racun 1952.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Laluan Pakatan Jaya 4, Taman Pakatan Jaya, di sini kira-kira jam 12.10 tengah malam 22 November lalu.
Ia kesalahan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Vatchira Wong Rui Fern manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Norizawani Ahmad Jalaludin.
Vatchira Wong menawarkan jaminan RM7,000 namun Norizawani memohon jaminan itu dikurangkan atas faktor pendapatan tertuduh yang bergaji harian RM80 sehari dengan dia menyara seorang anak dan menanggung ibu.
Menurut Norizawani, tertuduh juga perlu membayar RM400 sebulan sebagai nafkah perbelanjaan bagi anaknya berusia 14 tahun yang kini di bawah jagaan bekas isteri.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh dijamin RM3,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Februari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan laporan kimia.
Terdahulu, media melaporkan satu sindiket memproses dan menjual air ketum yang aktif sejak dua tahun lalu tumpas dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Pakatan Jaya di sini, Jumaat lalu.
Enam lelaki tempatan berusia antara 24 hingga 42 tahun dipercayai ahli sindiket ditahan, serta merampas 3,000 bungkusan air ketum dianggarkan 900 liter yang disimpan dalam tong air berwarna oren.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.