comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Tukang gunting tidak mengaku melakukan rompakan bersenjata 

KOTA BHARU: Seorang tukang gunting mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan secara berkumpulan dengan senjata, 16 Mei lalu.

Pertuduhan terhadap Mohamad Altaf Isyraf Zazlan, 21, dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Berdasarkan pertuduhan, Mohamad Altaf bersama-sama tiga individu lain yang masih bebas didakwa melakukan rompakan berkumpulan bersenjata terhadap Muhammad Safuan Hariss Ibrahim, 26, sehingga mendatangkan ketakutan kepada mangsa dan merampas sebuah motosikal Yamaha Y15, tiga unit telefon bimbit dan satu kerongsang emas milik ibu mangsa.

Perbuatan itu dilakukan di Kampung Wakaf Stan, Kubang Kerian di sini, jam 11 pagi, 16 Mei lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Edabayu Subhan, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Muhammad ZulfaqarAl Basysyar dan Taufik Rusli.

Terdahulu, Siti Edabayu tidak mencadangkan sebarang wang jaminan kepada tertuduh kerana kesalahan itu serius menggunakan senjata.

Bagaimanapun, Muhammad Zulfaqar memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diberi ikat jamin paling minimum.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini