comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Tukang kebun didenda RM2,500 melakukan khianat ke atas anjing

 

Foto: NSTP

KULIM: Mahkamah Majistret di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman denda RM2,500 ke atas seorang tukang kebun yang mengaku bersalah melakukan khianat terhadap seekor anjing dalam kejadian Ahad lalu.

Tertuduh Md Yusof Majid, 66, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Jamaliah Abd Manaf.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan khianat terhadap seekor anjing dengan cara mengikat haiwan tersebut di bahagian kaki dan mengheretnya menggunakan motosikal.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Junjung pada jam kira-kira 7.30 pagi, 9 Jun lalu.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya, Lim Jin Hong, manakala tertuduh diwakili peguam, Amir Hamzah A Rahman.

Dalam rayuannya, Amir Hamzah meminta mahkamah menetapkan denda minimum RM1,000 dikenakan berikutan anak guamnya hanya berpendapatan RM1,500 selain perlu menyara isteri dan seorang anak.

Tertuduh juga dikatakan menghidap sakit jantung, darah tinggi dan sawan serta akan mendatangkan masalah kepada keluarga sekiranya dihukum penjara.

Amir Hamzah menjelaskan, anak guamnya turut menyesal atas perbuatan itu dan memaklumkan kejadian itu berlaku berpunca dari kehadiran kumpulan anjing liar yang sering masuk ke kawasan sekolah dan mencemarkan kawasan persekitaran.

Jamaliah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,500 ke atas tertuduh atau penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Tertuduh kemudian membayar denda berkenaan di kaunter Mahkamah Kulim.

Terdahulu, video memaparkan perbuatan seorang lelaki mengheret seekor anjing sehingga menyebabkan kecederaan ke atas haiwan itu tular di media sosial.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini