comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Tukang kebun mengaku salah terhadap 11 pertuduhan jenayah

Dinesh Kumar (depan) mengaku salah di Mahkamah Majistret Seri Manjung, atas 11 pertuduhan jenayah dilakukannya. – FOTO: NSTP

MANJUNG: Seorang tukang kebun yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini mengaku salah terhadap 11 pertuduhan jenayah termasuk menceroboh kediaman, curi barang dalam kereta dan khianat pecah cermin kenderaan.

Tertuduh, A Dinesh Kumar, 24, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan itu dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Fakhrul Razzi Abd Hamid.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan atas enam pertuduhan menceroboh masuk kediaman mangsa di enam taman perumahan sekitar Sitiawan, dekat sini dengan niat melakukan perbuatan menyalahi undang-undang antara jam 1.10 pagi pada 24 Ogos lalu hingga jam 12.35 tengah malam 16 September lalu.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, Dinesh turut dituduh mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan atas empat pertuduhan mencuri harta dalam kenderaan membabitkan kasut, beg tangan, beg pemegang kad dan kad bar emas di empat kediaman dalam tiga taman perumahan sekitar Sitiawan, dekat sini antara jam 6 pagi, 4 September hingga jam 8 pagi, 27 September lalu.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat memecahkan cermin hadapan kiri Honda Jazz menggunakan tangan hingga menyebabkan kerugian kira-kira RM500 di sebuah rumah dalam Taman Raja Muda Musa, Sitiawan, dekat sini pada jam 7 pagi, 27 September lalu dan sabit kesalahan boleh dipenjara antara satu hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pegawai Pendakwa Inspektor Nurjihan Jaya memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh, namun peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nur Shaqira Ibrahim memohon mahkamah mengenakan hukuman minimum atas alasan anak guamnya bekerja sebagai tukang kebun dengan pendapatan bulanan RM1,000.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM22,500 bagi semua pertuduhan dan penjara antara tiga hingga 12 bulan, jika gagal membayar denda terbabit.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini