
MUAR: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen, hari ini atas pertuduhan mengakses pornografi kanak-kanak di media sosial.
Mohamad Reizal Dagang, 40, mengaku bersalah selepas pertuduhan dikemukakan terhadapnya sebelum Hakim Sayani Mohd Nor menjatuhkan hukuman denda RM5,000.
Mahkamah juga memerintahkan pembantu kedai makanan itu dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda dikenakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengakses bahan pornografi kanak-kanak di rumahnya di Tangkak, 9 malam, 23 Disember lalu.
Oleh itu tertuduh, didakwa mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017, penjara sehingga lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-dua, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Fauzi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Berdasarkan fakta kes, polis menerima laporan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) selepas mengesan ‘admin’ dalam Facebook.
Dalam kumpulan Facebook terbabit, tertuduh memuatnaik gambar dan video lucah kanak-kanak termasuk mereka sedang memakai uniform sekolah.
Tertuduh bertindak sebagai pentadbir kumpulan itu di mana akan memberi kebenaran kepada mereka yang ingin menyertainya.
Selepas menjadi ahli, mereka boleh memuatnaik pelbagai video dan gambar lucah kanak-kanak yang mana hanya boleh diakses kepada mereka terpilih sahaja.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.