comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Ugut bunuh bakar ibu, lelaki mengaku tidak bersalah 

FOTO: NSTP

MELAKA: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas lapan pertuduhan iaitu mengugut bunuh dan membakar ibu, mencederakan anak serta isteri dan melakukan amang seksual terhadap tiga anaknya, bulan lalu.

Tertuduh berusia 40 tahun, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan pada prosiding berasingan di hadapan Hakim Azaraorni Abd Rahman dan Rohatul Akmar Abdullah.

Mengikut tiga pertuduhan di hadapan Rohatul Akmar, tertuduh didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap tiga anak perempuannya berusia 12, 14 dan 16 tahun dengan cara menunjukkan kemaluannya kepada mangsa.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Merlimau Baru, Jasin pada 26 Februari lalu, kira-kira jam 10 malam dan dituduh mengikut Seksyen 15(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (AKSTK 2017) yang dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh kan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau didenda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya.

Pada prosiding di hadapan Azaraorni, tertuduh didakwa mengugut untuk membunuh dan membakar ibunya berusia 63 tahun, di luar rumah pada tempat serta tarikh sama yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh juga didakwa atas empat pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap tiga anak perempuannya berusia 12, 14 dan 16 tahun serta isterinya berusia 41 tahun pada tarikh, tempat dan masa sama, sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mahkamah kemudian menetapkan kes disebut semula pada 22 April ini untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini