Tumpuan :
Mahkamah

Ugut bunuh jiran letak kereta depan rumah, kerani direman 4 hari

Foto hiasan

AMPANG JAYA: Seorang kerani pentadbiran sebuah syarikat swasta ditahan selepas didapati mengugut untuk membunuh dan mencederakan jirannya di kediaman mereka di Taman Ampang Hilir, Pandan Indah, di sini, pada 8 November lalu.

Dalam kejadian jam 8.40 malam itu berlaku pertengkaran mulut antara pengadu yang juga pasangan suami isteri dan suspek berusia 32 tahub yang melakukan ugutan bersama isterinya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kedua-dua pasangan itu dipercayai bertengkar selepas isteri pengadu meletakkan kenderaan di hadapan kediaman suspek.

“Semasa pertengkaran di laman kediaman, suspek telah masuk ke dalam rumahnya dan keluar semula dengan membawa sebilah pisau dan mengacukan kepada pengadu serta mengugut untuk mencederakan dan membunuh pengadu.

“Susulan dari itu, pada 11 November lalu (Isnin) sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ampang Jaya, dan menahan suspek lelaki tempatan selain turut merampas sebilah pisau yang disyaki digunakan semasa kejadian.

“Tangkapan mempunyai satu rekod lampau berkaitan kes dadah manakala ujian air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Azam berkata, suspek direman selama empat hari bermula 12 November hingga semalam (15 November) dan dituduh di Mahkamah Ampang di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

“Suspek telah mengaku salah dan dikenakan hukuman denda sebanyak RM3,500,” katanya.

Beliau berkata siasatan kes berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 427/506 Kanun Keseksaan iaitu khianat dan ugutan jenayah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini