comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Upah RM50 – RM100 untuk melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa 

FOTO: NSTP

JASIN: Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan permohonan reman terhadap seorang peniaga warung kerana dipercayai melakukan amang seksual fizikal terhadap 6 kanak-kanak lelaki yang berumur antara 12 hingga 13 tahun.

Suspek yang berusia 56 tahun yang didakwa menjadikan kanak-kanak lelaki sebagai pemuas nafsu jijiknya ditahan di Simpang Bekoh, dekat sini, malam tadi.

Perbuatan terkutuk suspek terbongkar apabila ke semua mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin, 2.58 petang semalam selepas dikatakan tidak tahan diperlakukan sedemikian sejak September tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku di Simpang Bekoh membabitkan mangsa berumur 12 dan 13 tahun antara September tahun lepas hingga Januari lalu.

Katanya lebih mengejutkan setiap kanak-kanak mendakwa diberi upah antara RM50 hingga RM100 untuk suspek melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa.

“Semua kanak-kanak berkenaan masih bersekolah dan suspek dikatakan akan memberi upah RM50 hingga RM100 kepada mereka.

“Bertindak hasil maklumat dan siasatan, polis memberkas suspek di rumahnya di Simpang Bekoh, di sini jam 8.56 malam tadi,” katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata, suspek yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak angkat itu direman tujuh hari bermula hari ini hingga 13 Februari bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan kes.

Katanya perintah reman dikeluarkan Majistret Mohd Firdaus Salleh dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 14(a)/ 15A(1)/15B(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini