comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Ustaz didakwa melakukan amang seksual terhadap tiga murid

TAWAU: Seorang ustaz dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini, atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas tiga orang muridnya antara bulan September hingga November tahun lalu.

Sanyzam Dabal, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

Berdasarkan pertuduhan pertama, guru Pendidikan Islam itu didakwa melakukan amang seksual terhadap murid perempuan berusia sepuluh tahun dalam bilik darjah di sekolah tempatnya mengajar antara 20 Mac hingga 17 September 2023.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap mangsa, iaitu murid perempuan tahun empat sewaktu sesi pembelajaran Pendidikan Agama Islam, pada 30 November 2023.

Pertuduhan ketiga pula, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama ke atas seorang lagi murid perempuan darjah empat iaitu semasa sesi pembelajaran Pendidikan Agama Islam, di dalam bilik darjah, pada 17 September 2023.

Bagi semua kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang membawa hukuman dipenjara sehingga 20 tahun dan hukuman sebat jika sabit kesalahan bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah akhirnya membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 6 Mac depan untuk pengurusan dan sebutan semula kes.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini