comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] 2 lelaki ada 27 dan 33 rekod jenayah tak mengaku ceroboh, samun penuntut UA

Tertuduh, Logenraj (dua dari kiri) dan Richi mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki harta curi dan ceroboh kediaman penuntut di Pagoh. – FOTO: NSTP

MUAR: Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memiliki harta curi milik penuntut univeristi awam (UA) dan menceroboh asrama penginapan di Pagoh, di sini, bulan lalu.

Tertuduh, Richi Ilango, 20, dan Logenraj Arumugan, 21, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca berasingan di hadapan Majistret Fatin Dalilah Khalid.

Logenraj berhadapan lima pertuduhan termasuk dua daripadanya berkaitan kes dadah manakala Richi, satu pertuduhan.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, Logenraj yang juga pengutip besi buruk didakwa menyimpan harta curi berupa tablet, telefon bimbit dan komputer riba milik tiga penuntut Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) cawangan Pagoh di Jalan Panchor, di sini.

Ketiga-tiga kejadian itu berlaku pada jam 1.30 tengah hari, 15 April lalu.

Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan dengan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dua lagi pertuduhan dihadapi Logenraj ialah mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki 3.15 gram methampethamin dan Seksyen 15 (1) (a) akta sama kerana air kencing positif dadah.

Dia hanya mengaku bersalah bagi Seksyen 15 (1) (a) dan dijatuhi hukuman penjara enam bulan bermula tarikh ditahan, 15 April lalu.

Sementara Richi bekerja mekanik didakwa menceroboh asrama penginapan penuntut Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) cawangan Pagoh dengan kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan.

Bagi kesalahan ini, tertuduh boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau denda RM3,000 atau kedua-duanya.

Susulan pengakuan tidak bersalah, Logenraj dibenarkan ikat jamin sebanyak RM5,000 bagi tiga pertuduhan mengikut Seksyen 411 dan Seksyen 12 (2) pula RM3,000.

Sementara Richi diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan kes disebut semula pada 25 Jun ini untuk serahan dokuman dan juga lantikan peguam.

Pada masa sama, mahkamah juga mengarahkan kedua-dua tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap 20 haribulan sehingga kes selesai.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Arif Marzuki manakala kedua-dua tertuduh diwakili Sakinah Suhaimi daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Dalam kejadian itu, kedua-dua tertuduh bersama seorang lagi penjenayah diberkas polis di dua lokasi berasingan termasuk Kulai selepas menyamun penuntut kedua-dua universiti terbabit.

16 April lalu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz dilaporkan berkata dua daripada tiga suspek ditahan susulan kes itu masing-masing memiliki 27 dan 33 rekod jenayah lampau termasuk curi kenderaan.

Beliau berkata suspek memanjat pagar di belakang kolej kediaman UTHM Pagoh dan meluru masuk ke dalam bilik mangsa sambil mengacukan senjata tajam bagi memaksa mangsa menyerahkan barang milik mereka.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini