comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Dua beradik tak mengaku rasuah polis RM25,000 

KUALA LUMPUR: Dua beradik termasuk seorang pengarah syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan memberi rasuah RM25,000 kepada polis untuk mengelak daripada dikenakan tindakan atas kesalahan mengedar minuman keras tanpa cukai sah.

Bagaimanapun, pengarah itu, A Vijayakumar, 47 dan adiknya yang juga pembantu kedai, A Ragubathi, 42, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka dengan niat bersama memberikan suapan itu kepada penolong penguasa polis, Suhaimi Omar, 47, yang bertugas di cawangan Perisikan dan Siasatan Khas Pasukan Gerakan Khas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman.

Rasuah berkenaan sebagai dorongan supaya Suhaimi melepaskan kedua-dua tertuduh daripada tindakan mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967 kerana kesalahan mengedar minuman keras tanpa cukai sah.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah restoran di Plaza Metro Prima, Kepong, di sini, pada 28 Jun tahun lalu mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Susulan pengakuan tidak bersalah oleh dua beradik itu, Timbalan Pendakwa Raya, Irna Juliza Maaras, menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

“Syarat tambahan ialah melaporkan diri di pejabat SPRM Selangor setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah hingga kes selesai,” katanya.

Bagaimanapun, peguam bela lelaki terbabit, R Mahendran Naidu, menyifatkan jaminan RM30,000 seorang sebagai keterlaluan dan membebankan.

Katanya, anak guam masih dalam jaminan SPRM sebanyak RM10,000 seorang, selain perlu melaporkan diri ke SPRM Selangor setiap bulan sejak siasatan bermula.

“Kedua-dua tertuduh tiada risiko melarikan diri kerana jalankan perniagaan di sini. Mereka ada ibu bapa yang sakit di mana ibunya ada strok yang perlu rawatan dari semasa ke semasa.

“Jaminan RM30,000 terlalu tinggi kerana pertuduhan hanya membabitkan RM25,000. Tiada bantahan kepada syarat tambahan dan memadai jaminan RM10,000 setiap seorang,” katanya.

Hakim kemudian membenarkan dua lelaki itu masing-masing diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dicadangkan pendakwaan yang dipersetujui pembelaan.

Sebutan semula kes pada 23 Mei ini untuk serahan dokumen.

Loading...
Terkini