comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Kartel dadah terbesar di Sabah didakwa hari ini

KOTA KINABALU: 11 individu termasuk ahli perniagaan bergelar Datuk dipercayai mendalangi kartel dadah terbesar di Sabah dibawa ke Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu di sini, pagi ini.

Mereka yang memakai pakaian biasa itu dibawa menggunakan trak polis dan memasuki perkarangan mahkamah jam 8.20 pagi.

Sepasukan polis dari pelbagai unit termasuk dari Bukit Aman turut berkawal di luar dan mahkamah sebagai langkah kawalan keselamatan.

Dua sekatan jalan raya juga dibuat berhampiran simpang masuk ke mahkamah bermula jam 6 pagi.

Prosiding dijalankan di Mahkamah Sesyen 3.

Pendakwaan terhadap semua tertuduh difahamkan dilakukan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Media sebelum ini melaporkan, polis menahan ahli perniagaan bergelar Datuk yang mendalangi sindiket pengedaran dadah terbesar di Sabah dalam siri serbuan.

Lelaki berusia 40 tahun itu turut menaungi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi melindungi kegiatan haramnya sejak tahun 2015.

Malah, sindiket berkenaan juga dikesan melakukan pengubahan wang haram melalui pelbagai perniagaan mewah yang dijalankan ahli sindiketnya termasuk syarikat minyak dan gas serta rangkaian restoran.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay sebelum ini berkata, ketua sindiket itu antara 10 individu ditahan JSJN Bukit Aman dan pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dalam serbuan di Kota Kinabalu, Tawau dan Semporna pada 25 Disember lalu.

Beliau berkata, sejak penahanan ketua dan anggota sindiket itu pada 25 Disember tahun lalu, polis merampas pelbagai aset antaranya 22 akaun bank dengan simpanan berjumlah RM420,000 yang dibekukan, 18 kenderaan mewah bernilai RM6.6 juta, barang kemas dan jam tangan bernilai kira-kira RM100,000 serta wang tunai RM35,000.

Polis percaya penaung NGO itu menjalankan kegiatan pengedaran dadah di luar Sabah sejak lebih lapan tahun lalu.

Loading...
Terkini