comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Mahkamah perintah hasil jualan 138 babi RM41,400, jadi milik kerajaan

BUKIT MERTAJAM: Mahkamah Majistret, di sini hari ini memerintahkan wang hasil jualan 138 ekor babi hidup bernilai RM41,400 milik seorang penternak dilucutkan hak untuk dijadikan hasil kerajaan.

Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit membuat keputusan itu dalam pengurusan kes dengan Orang Kena Kompaun (OKK) Ang Shi Shen, 34.

Nurul Rasyidah turut memerintahkan supaya 11 anak babi hidup dan satu pasport ladang khinzir diserahkan kepada pemilik asal.

16 Januari lalu, Ang yang menguruskan ladang ternakan babi itu dikompaun RM3,000 selepas mengaku bersalah memindahkan 138 babi hidup tanpa kebenaran Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Mei tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memindahkan kesemua babi terbabit dari Perak ke Pulau Pinang.

Tindakan itu dilakukan dipercayai selepas ternakan babi yang diuruskannya di ladang Bukit Teh terpaksa dilupuskan berikutan penularan penyakit Demam Babi Afrika (ASF).

Pendakwaan dikemukakan mengikut Perintah 4 (1)(b) Perintah Kawasan Kawalan Penyakit African Swine Fever (Negeri Pulau Pinang) 2022 mengikut Subseksyen 36(1) Akta Binatang 1953.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya JPV Roziman Awang Tahrin manakala OKK tidak diwakili peguam.

Roziman ketika ditemui pemberita di luar mahkamah memaklumkan bahawa penguat kuasa JPV menjalankan pemeriksaan dan melupuskan ke semua ternakan babi di ladang itu selepas disahkan dijangkiti ASF pada 27 Januari tahun lalu.

“Namun, hasil pemeriksaan lanjut mendapati 138 babi dipindahkan oleh OKK dari Perak ke Pulau Pinang tanpa mendapat kebenaran JPV.

“Ke semua babi itu tiada sebarang tanda penyakit yang kemudian ia dilupuskan melalui jualan sebelum hasilnya dilucut hak untuk dijadikan hasil kerajaan,” katanya.

Tahun lalu, media melaporkan terdapat 30 ladang babi komersial di Pulau Pinang disahkan dijangkiti penyakit ASF dengan jumlah babi yang dijangkiti adalah 68,659 ekor.

Loading...
Terkini