comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Pengarah Urusan Malee Beach Resort didenda RM150,000

Pengarah Urusan Malee Beach Resort Sdn Bhd, Lee Boon Han bersama peguamnya, Hayder Yazid.

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah

BESUT: Pengarah Urusan Malee Beach Resort Sdn Bhd, Lee Boon Han didenda RM150,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan membina bangunan tanpa kebenaran dua bulan lalu.

Kejadian berlaku di sebuah resort di Pulau Perhentian di sini dan telah menyebabkan dua buruh binaan maut apabila bangunan yang masih dalam pembinaan itu tiba-tiba runtuh.

Hakim Ahmad Fadhli Mahmud memerintahkan demikian selepas tertuduh Boon Han, 55, selaku orang kena saman (OKS) mengaku bersalah.

Mengikut pertuduhan, pada 9 November 2023, di antara jam 1 hingga 5 pagi, tertuduh telah melanggar kewajipan sebagai kontraktor untuk memastikan keselamatan bangunan serta kerja pembinaan.

Tertuduh telah mendirikan bangunan menggunakan lukisan konsep yang disediakan oleh pelukis bebas yang tidak boleh digunakan di dalam apa-apa projek pembinaan dan tidak mempunyai perakuan daripada perunding bertauliah.

Tertuduh turut didapati bersalah membina bangunan utama tanpa mendapatkan kelulusan pembinaan dan kebenaran dari Majlis Daerah Besut dan tidak melaksanakan siasatan tanah di tapak bina bangunan.

Selain itu tertuduh juga tidak menyediakan laporan kesan alam sekitar bagi projek berkenaan serta mengambil penyelia tapak dan pekerja yang tidak kompetan dan tidak mahir.

Sehubungan itu, Pengarah Urusan Syarikat Malee Beach Resort Sdn Bhd itu telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 34B (1) (c), Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994 (Akta 520) dibaca bersama Seksyen 34D (1) akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh didenda RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Ketua Pegawai Pendakwa CIDB, Abdul Razak Husin.

Manakala tertuduh diwakili peguam Hayder Yazid.

Dua bulan lalu, sebuah bangunan tiga tingkat yang masih dalam pembinaan di sebuah resort di pulau peranginan itu tiba-tiba runtuh dalam kejadian pada sekitar jam 4.30 pagi.

Insiden itu melibatkan seramai tujuh orang buruh binaan dengan dua daripada mereka maut.

Kedua-dua mangsa yang terkorban adalah warga Indonesia.

Loading...
Terkini