comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Wadar dan pelatih PUSPEN didakwa atas tuduhan membunuh

Tertuduh wadar PUSPEN, Nur Aslam Faizal (baju Putih) dan Suffian Effendy Kadri (belakang) dituduh secara bersama membunuh seorang pelatih di PUSPEN Perlop pada 31 Januari lalu. – FOTO : NSTP

SUNGAI SIPUT: Seorang wadar Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) serta seorang pelatih di pusat itu, Suffian Effendy Kadri, 30, dituduh secara bersama membunuh seorang pelatih, Mohd Ali Mohd Nor, 50, di PUSPEN Perlop, di sini kira-kira jam 10.30 pagi 31 Januari lalu.

Tertuduh, Nur Aslam Faizal, 35, kakitangan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), dilihat gagal menahan kesedihan apabila menangis teresak-esak dalam kandang tertuduh di Mahkamah Majistret di sini selepas didakwa atas tuduhan membunuh.

Kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan berikutan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi namun kedua-dua tertuduh faham pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nurul Asyifa Redzuan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R S Vitthiyeswary dengan Nur Aslam diwakili peguam, Keshvinder Singh sementara Suffian Effendy tidak diwakili peguam.

Ketika prosiding, Keshvinder memohon kebenaran mahkamah bagi membolehkan Nur Aslam yang juga seorang bapa kepada tiga anak berjumpa sebentar dengan ahli keluarga termasuk ibu dan isterinya yang turut hadir ke mahkamah, atas alasan tertuduh tidak sempat berjumpa ahli keluarga sejak ditahan pada 31 Januari lalu.

Majistret kemudiannya membenarkan permohonan itu dalam tempoh masa lima minit sebelum menetapkan tarikh 10 April depan untuk kes disebut semula sementara menunggu laporan lengkap post morterm serta forensik.

Suasana hiba menyelubungi bilik perbicaraan selepas Majistret menangguhkan sesi mahkamah seketika, apabila Nur Aslam dilihat menangis teresak-esak kerana tidak dapat menahan sebak di dalam kandang tertuduh dan ahli keluarganya dilihat cuba menenangkan tertuduh termasuk memeluknya.

Media sebelum ini melaporkan pelatih serta tiga kakitangan PUSPEN Perlop, di sini ditahan polis bagi membantu siasatan kematian seorang pelatih pusat pemulihan itu pada Selasa minggu lalu yang disyaki dibunuh.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini