KLANG: Seorang wanita yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 10 pertuduhan mengeksploitasi kanak-kanak, bulan lalu.
Asmat @ Asmanira Muhamad Ramly, 44, didakwa di hadapan Hakim Zulqarnain Hassan, mengikut Seksyen 415/417 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.
Dia yang berdepan hukuman penjara seumur hidup dan sebat jika sabit kesalahan bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan.
Wanita itu didakwa memperdagangkan 10 kanak-kanak berusia lapan tahun bagi maksud eksploitasi aktiviti menyalahi undang-undang di Pusat Jagaan Cahaya Kasih Bestari, Kampung Melayu Subang, dekat sini pada 11 September lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Anisah Pisol memohon semua kes dibicarakan secara bersekali dan tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh yang ketika ini ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Peguam, Muhd Zaim Rosli tidak membantah permohonan dikemukakan Anisah.
Di Mahkamah Majistret di sini, seorang lagi wanita yang dikaitkan dengan GISBH didakwa mengambil bahagian dalam pengurusan pusat jagaan tidak berdaftar dikenali Pusat Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Al-Mahabbah.
Mahani Kasim, 54, juga mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amirul Asyraf Abd Rasid.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Bandar Bukit Raja, dekat sini, pada jam 6.30 pagi, 11 September lalu dan dituduh mengikut Seksyen 5 (1) Akta Jagaan Kanak-Kanak 1993.
Wanita berkenan boleh dihukum mengikut Seksyen 5(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nadia Syuhada Rosli, manakala tertuduh diwakili peguam, Muhd Zaim Rosli.
Sebutan semula bagi kedua-kedua kes ditetapkan 13 Disember depan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.