comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Wanita bebas tuduhan sebabkan kematian bayi kerana fikiran terganggu

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Seorang wanita dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kemaman semalam atas tuduhan menyebabkan kematian bayi perempuan berusia tiga bulan ketika belum cukup pulih daripada melahirkan anaknya itu dan fikiran terganggu.

Hakim Wan Suhaila Mohd, melepas dan membebaskan tertuduh, Nur Najihah Zulkiflee, 32, yang bekerja sendiri selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes mereka.

Seramai 13 saksi dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula 2020.

Peguam Shakeel Saifuzzaman mewakili wanita terbabit ketika dihubungi BH hari ini, mengesahkan anak guam dibebaskan atas tuduhan berkenaan.

Selain Shakeel, Nur Najihah diwakili peguam Harshaan Zamani, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Mohamad Razali.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian Medina Sandra Mohd Saddly yang mana ketika perbuatan berkenaan, tertuduh belum cukup pulih akibat melahirkan anaknya itu dan ketenteraman fikiran terganggu.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah rumah di FELDA Neram 2, jam 11.30 pagi pada 11 September 2019, mengikut Seksyen 309A Kanun Keseksaan (KK) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 309B KK yang membawa kepada hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda jika disabit kesalahan.

Pada hari kejadian, media melaporkan bayi perempuan berusia tiga bulan maut didakwa didera ibu kandungnya di sebuah kampung di Cheneh, Chukai.

Bayi terbabit disahkan meninggal dunia di klinik kesihatan di Cheneh, dan difahamkan klinik itu didatangi seorang lelaki yang membawa mangsa dalam keadaan lemah.

Susulan itu, pihak klinik memberi bantuan kecemasan untuk menyelamatkan bayi berkenaan, namun gagal sebelum laporan polis dibuat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini