MACHANG: Seorang penganggur didenda RM2,000 di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan membuang bayi lelaki yang baru dilahirkan, 7 September lalu.
Tertuduh, Siti Nabila, 22, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibaca jurubahasa di hadapan Majistret Amal Razim Alias.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai ibu kepada seorang bayi lelaki berumur satu hari didakwa meninggalkan bayi berkenaan dengan niat hendak membuangnya.
Perbuatan itu dilakukan di belakang sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Sungai Bedal, Machang kira-kira jam 6 petang, pada 7 September 2024.
Pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-dua sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na’ilah Harizan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Amal Razim bertanyakan kepada Siti Nabila mengapa meninggalkan bayi itu di luar sebelum tertuduh menjawab membuat perkara itu kerana berasa takut.
Amal Razim berkata, mahkamah mengambil kira bayi berkenaan sudah diambil oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk dijaga dan ditemui dalam keadaan selamat.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM2,000 kepada tertuduh dan penjara selama empat bulan sekiranya gagal bayar.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.