comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Wanita Indonesia cabul wanita tempatan dipenjara 4 tahun, denda RM3,000

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga Indonesia dihukum penjara empat tahun dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu kerana mencabul seorang perempuan tempatan di tandas.

Kegagalan tertuduh dikenali Ita yang juga tukang cuci membayar denda berkenaan akan membawa kepada pemenjaraan selama 12 bulan.

Hakim, Siti Fatimah Talib, yang bertindak sebagai Majistret berkata, fakta kes menunjukkan tertuduh mencabul kehormatan dengan menyentuh punggung, kemaluan dan payudara mangsa berusia 29 tahun itu.

Beliau berkata perbuatan itu bukan saja mengaibkan, malah menyebabkan trauma kepada mangsa.

“Mahkamah mengambil kira bahawa perbuatan seperti ini adalah jenayah serius yang menjatuhkan maruah mangsa.

“Mahkamah menimbangkan faktor rayuan, hujahan pihak pendakwaan, keseriusan kesalahan dan kepentingan awam dalam menentukan hukuman ke atas tertuduh.

“Kesalahan tertuduh mengaibkan mangsa dan mahkamah perlu memberi hukuman berbentuk pengajaran supaya tidak diulangi pada masa hadapan.

“Hukuman penjara selama empat tahun dari tarikh tangkap (12 Jun 2023) dan denda RM3,000 adalah setimpal, munasabah serta berpatutan dengan kesalahan dilakukan tertuduh terhadap mangsa,” katanya dalam alasan penghakiman penuh minggu lalu.

Mahkamah Majistret memutuskan hukuman terbabit selepas Ita menukar pengakuan kepada bersalah pada 15 Ogos tahun lalu, namun memfailkan rayuan pada hari sama supaya hukuman diringankan.

“Sekalipun tertuduh tiada rekod kesalahan, hukuman diputuskan perlu diberikan atas perbuatan jenayah terhadap mangsa.

“Mahkamah juga mengambil kira bahawa tertuduh terkecuali daripada sebatan, maka hukuman terbabit adalah setimpal,” katanya.

Loading...
Terkini