comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Wanita muda didakwa jalankan skim pelaburan haram

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Seorang wanita muda dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini atas tuduhan menerima deposit RM82,000 kerana menjalankan skim pelaburan tanpa lesen yang sah, empat bulan lalu.

Tertuduh, Norsyazwany A. Rahim, 23 bagaimanapun, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail.

Mengikut pertuduhan, Norsyazwany yang berasal dari Kupang, Kedah, didakwa menerima wang deposit  RM82,000 daripada seorang wanita berusia 27 tahun tanpa lesen yang sah mengikut Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758).

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Lot 857, Jalan Kampung Bukit Tempayan, Tangga Batu, Melaka antara 10 Jun 2022 hingga 10 Ogos lalu.

Dakwaan mengikut Seksyen 137 Kurungan 2 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758).

Jika sabit kesalahan dia boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda RM50 juta atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Nazrin Ali Rahim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mohd. Nazrin mencadangkan tertuduh diikat jamin RM50,000 ekoran Norsyazwany turut berdepan kes sama di beberapa negeri lain yang bernilai jutaan ringgit.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin.

Hakim menetapkan 29 Disember depan untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Loading...
Terkini