comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Wanita Sabah didenda kerana palsukan dokumen bagi tukar status agama

Nur sarimah Subuka didenda RM8,000 atau penjara 18 bulan kerana memberi maklumat palsu ketika memohon menukar status agama di Mykad.

KOTA KINABALU: Seorang wanita yang memberi maklumat palsu ketika memohon menukar status agama di MyKad didenda RM8,000 atau 18 bulan penjara.

Nur Sarimah Subuka, 24, melakukan kesalahan itu apabila dia menyerahkan dokumen Perintah Mahkamah Syariah Kota Kinabalu palsu pada jam 3.53 petang, 12 September 2023 di kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sini.

Dia mengaku bersalah di hadapan Majistret Lovely Natasha Charles di Mahkamah Majistret di sini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 25(1)(b) Peraturan Pendaftaran Negara yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, Nur Sarimah pergi ke pejabat JPN Kota Kinabalu bagi menukar nama dan status agamanya di MyKad.

Dia menyerahkan borang permohonan bersama dokumen sokongan seperti MyKad, sijil lahir dan Perintah Bagi Permohonan Menukar Status Agama Islam dari Mahkamah Tinggi Syariah Kota Kinabalu bagi diproses.

Semakan oleh panel memproses JPN Putrajaya bagaimanapun mendapati surat perintah yang didakwa dari Mahkamah Tinggi Syariah Kota Kinabalu itu adalah palsu.

Penemuan itu menyebabkan dia kemudiannya ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah hari ini.

Menurut peguamnya, Lim Ming Zoong @ Lawrence dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Sarimah dimaklumkan oleh seorang ejen bahawa permohonannya akan diluluskan jika dia membuat bayaran sebagai tukaran status agamanya daripada Islam kepada Kristian.

Nur Sarimah yang juga suri rumah dan mempunyai dua ank mahu menukar agamanya kepada Kristian kerana dia dibesarkan di dalam sebuah keluarga bermasalah.

Bapanya meninggalkan mereka dan dia dibesarkan sendirian oleh ibunya, seorang ibu tunggal dengan latar belakang agama Kristian.

Mengikut laporan, Nur Sarimah telah membayar denda itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini