Tumpuan :
Mahkamah

Warga asing dipenjara 6 bulan, lari hospital elak ditahan pihak berkuasa

Zulfikar yang sebelum ini melarikan diri dari hospital selepas terbabit kemalangan dihukum penjara enam bulan.- Foto: NSTP

TAWAU: Lelaki yang sebelum ini melarikan diri dari hospital selepas terbabit kemalangan dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim Ahmad Faizadh Yahaya membuat keputusan itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, Zulfikar Zul Akmat, 22, dan mensabitkannya dengan pertuduhan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Selain itu, tertuduh yang juga seorang penganggur turut diperintah dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan pengusiran sebaik selesai menjalani hukuman berkenaan.

Mengikut pertuduhan, lelaki berkenaan yang bukan warga Malaysia didapati tidak memiliki apa-apa pas yang sah mengikut undang-undang untuk masuk ke negara ini.

Kesalahan itu dilakukan di Kampung Vietnam Tanjung Batu di sini, pada 7 malam 19 Januari lalu.

Bagi kesalahan itu tertuduh boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya dan boleh dihukum sebat tidak lebih enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Batrisyia Mohd Khusri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, lelaki itu terbabit dalam kemalangan apabila Proton Gen2 dipandunya bersama tiga penumpang hilang kawalan sebelum terbabas di Jalan Mawar Kampung Jawa pada awal pagi, 19 Januari lalu.

Dia yang mengalami kecederaan kemudiannya dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan bagaimanapun bertindak melarikan diri bagi mengelak ditahan pihak berkuasa kerana tidak memiliki lesen memandu dan dokumen pengenalan diri yang sah.

Bagaimanapun, pemuda itu akhirnya berjaya ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik diketuai Asisten Superintendan Joan Lee di Kampung Vietnam, Tanjung Batu, jam 7 malam, hari yang sama.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini