
BATU PAHAT: Lelaki warga Bangladesh dipenjara 26 bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Yong Peng hari ini, atas tiga pertuduhan termasuk memukul dan merosakkan 20 anak pokok, minggu lalu.
Tertuduh, Rofiq, 25, membuat pengakuan itu terhadap pertuduhan yang dikemukakan menerusi jurubahasa Bangladesh di hadapan Majistret Arun Noval Dass.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap lelaki berusia 33 tahun di Jalan Labis-Yong Peng, pada jam 10 malam 7 Disember lalu.
Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara setahun atau denda atau kedua-duanya.
Pertuduhan kedua, dia didakwa membuat ugutan jenayah hingga mendatangkan ketakutan dan didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dengan kejadian itu berlaku pada tarikh dan waktu sama.
Bagi pertuduhan ketiga, dia melakukan khianat dengan merosakkan 20 anak pokok milik syarikat tempat tertuduh bekerja di Jalan Yong Peng, pada jam 12 tengah hari, 8 Disember lalu.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh dan mangsa sebelum itu bertengkar berhubung isu pembayaran gaji yang dikatakan belum dilunaskan.
Kemuncaknya apabila tertuduh memukul belakang mangsa hingga cedera.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara setahun bagi kesalahan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, lapan bulan untuk Seksyen 323 dan Seksyen 506, enam bulan.
Mahkamah memutuskan kesemua hukuman terbabit berjalan serentak dari tarikh ditahan, 8 Disember lalu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.