comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Warga emas didakwa tembak mati Molly

Oleh Baharuddin Mohamed 

MELAKA: Seorang warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menembak mati seekor kucing bernama Molly, milik jirannya menggunakan senapang angin, lima bulan lalu.

Tertuduh, Aziz Tambi, 62, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Nabilah Nizam.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menembak seekor kucing dengan senapang angin sehingga menyebabkan kesakitan dan penderitaan yang tidak sepatutnya terhadap haiwan berkenaan.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu jam 2.30 petang di sebuah rumah di Jalan Tanjung Minyak, Bukit Rambai dalam daerah Melaka Tengah pada 18 Jun lalu.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM100,000 mengikut Seksyen 29(1)(c) Akta Kebajikan Haiwan 2015.

Dalam prosiding yang berlainan, tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki selaras senapang angin tanpa lesen sah pada 19 Jun lalu.

Kucing bernama Molly disyaki mati akibat ditembak menggunakan senapang angin di sebuah rumah di Jalan Tanjung Minyak, Bukit Rambai pada 18 Jun lalu. 

Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan yang masing-masing dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasarudin dan Muhammad Nazrin Ali Rahim menawarkan jaminan RM20,000 dan RM5,000 terhadap tertuduh.

Aziz yang diwakili Peguam, Mohd. Ishak Kari bagaimanapun merayu jaminan dikurangkan atas menggunakan faktor usianya sebagai alasan, selain hanya melakukan kerja-kerja kampung dengan upah RM50 sehari.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin  RM2,500 bagi Seksyen 29(1)(c) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan RM5,000 di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960.

Mahkamah turut menetapkan 11 Januari depan sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan dua beranak ditahan polis selepas dipercayai  menembak kucing peliharaan jiran menggunakan senapang angin buatan sendiri sehingga menyebabkan haiwan itu mati di Bukit Rambai.

Siasatan mendapati kejadian berlaku selepas suspek dikatakan berang haiwan itu yang diberikan nama Molly memasuki rumah mereka.

Pemilik hanya menyedari kejadian tersebut selepas kucing itu mengalami muntah darah dan terdapat luka kecil di belakang badan sebelum dibawa ke klinik haiwan.

Loading...
Terkini