comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Warga Indonesia didakwa cabul, cuba rogol anak tiri 13 tahun

Tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Muar selepas mengaku tidak bersalah cabul dan cubaan rogol anak tiri di Batu Pahat. -FOTO: NSTP

MUAR: Seorang lelaki warga Indonesia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan amang seksual fizikal dan cubaan merogol anak tirinya di sebuah rumah di Batu Pahat, Mei lalu.

Tertuduh berusia 39 tahun yang berkahwin dengan rakyat tempatan dan berhadapan dua pertuduhan, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dikemukakan terhadapnya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Irwan Suainbon.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan amang seksual terhadap anak tirinya berusia 13 tahun di rumahnya di Batu Pahat, jam 12.30 tengah hari, 27 Mei lalu.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.

Pertuduhan kedua pula, dia dituduh melakukan cubaan merogol mangsa pada jam 12.30 tengah malam, 28 Mei lalu dengan kejadian ini berlaku di rumah sama.

Bagi kesalahan itu, dia boleh dipenjara maksimum 15 tahun dan sebatan tidak kurang 10 kali.

Berdasarkan laporan dibuat mangsa, kejadian berlaku ketika ibunya keluar bekerja manakala dia sedang tidur.

Selepas kejadian itu, mangsa menceritakan kepada rakannya sebelum perkara itu dibawa ke pengetahuan guru.

Guru berkenaan kemudiannya memberitahu ibu mangsa dan satu laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, 13 Jun lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya memutuskan tiada tawaran ikat jamin diberikan terhadap tertuduh dan menetapkan 25 Julai ini untuk sebutan semula, serahan dokumen dan juga lantikan peguam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini