ALOR GAJAH: Seorang warga Indonesia yang terlibat kes dadah dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret, hari ini selepas melarikan diri dari Kompleks Mahkamah, bulan lalu.
Majistret Dr Teoh Shu Yee menjatuhi hukuman terbabit terhadap tertuduh, Musliadi Arahman, 39, selepas lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.
Dalam penghakimannya, beliau turut menasihati tertuduh agar menggunakan saluran betul iaitu kedutaan untuk mengetahui hal ehwal keluarga di negara asal dan bukannya melarikan diri.
“Mahkamah mengambil kira tindakan tertuduh melarikan diri daripada tahanan sah berlaku di kompleks mahkamah ini dan usaha dilakukan pihak polis dan kastam untuk mengesannya.
“Sepatutnya tertuduh boleh mendapatkan bantuan Kedutaan Indonesia bagi mengetahui keadaan keluarga di negara asal dan boleh memaklumkan kepada pihak penjara,” katanya yang menetapkan hukuman penjara bermula dari tarikh hukuman, hari ini.
Mengikut pertuduhan, Musliadi didakwa melakukan tentangan dan halangan yang menyalahi undang-undang iaitu dengan melepaskan diri daripada jagaan pegawai pengiring Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang mana dia ditahan secara sah oleh agensi itu mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di pekarangan Kompleks Mahkamah Alor Gajah pada jam 10.10 pagi, 25 November lalu.
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau dengan kedua-duanya.
Terdahulu, peguam Ishak Mohd Kari berkata, tertuduh nekad melarikan diri untuk pulang ke Acheh, Indonesia bagi melihat isteri dan anaknya yang terbabit kemalangan.
“Tertuduh menyesal atas kesalahan dilakukan yang mana dia juga penanggung tunggal keluarga yang datang ke negara ini untuk mencari nafkah selain ibu bapanya meninggal dunia akibat tsunami,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh melarikan diri ketika diiringi pegawai JKDM di perkarangan Kompleks Mahkamah Alor Gajah dengan memanjat pagar.
Susulan itu, operasi mengesan dilakukan oleh polis dan JKDM sebelum menahan tertuduh di kebun durian di Melaka Pindah, kira-kira tiga kilometer dari mahkamah.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.