comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Waris Jamaluddin Jarjis setuju selesai tuntutan RM1 bilion secara baik

KUALA LUMPUR: Balu kepada bekas menteri Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis, Puan Sri Kalsom Ismail, empat anak dan ibu mentuanya, masing-masing bersetuju mengadakan perbincangan bagi menyelesaikan secara baik tuntutan harta sepencarian berjumlah RM1 bilion.

Kalsom, 66, selaku plaintif memfailkan tuntutan itu termasuk 20 hartanah di Malaysia, Makkah serta beberapa syarikat pada Oktober 2018, dengan menamakan anaknya, Ikwan Hafiz, Nur Anis, Nurul Alyaa, Noor Adilla serta ibu mentuanya, Aminah Abdullah sebagai defendan.

Hakim Mahkamah Syarie, Abdul Shukor Abd Hamid, berkata perbicaraan kes tuntutan itu yang sepatutnya bermula hari ini ditangguhkan ke 31 Januari tahun depan, bagi mengetahui keputusan perbincangan berkenaan.

“Mahkamah berpendapat lebih bagus waris Allahyarham bertolak ansur membuat perbincangan. Kita galakkan ada penyelesaian baik dan tidak mahu ikatan persaudaraan serta kekeluargaan terurai.

“Kita tidak mahu berlaku pertengkaran dalam istitusi hubungan keluarga. Raikan pendapat masing-masing dan mahkamah beri peluang kepada pihak berkaitan berbincang.

“Ada bahagian kita termasuk mahkamah sendiri tak perlu masuk campur hal keluarga, masuk tak tentu pasal dan tidak tahu hujung pangkal (tuntutan kes itu),” katanya dalam prosiding hari ini.

Turut hadir, Peguam Syarie, Nor Husniah Husin dan Datuk Sulaiman Abdullah, mewakili Kalsom, manakala Peguam Syarie, Nur Hidayah A Bakar mewakili Aminah.

Terdahulu, Nor Husniah berkata, semua pihak bersetuju mengadakan perbincangan keluarga bagi menyelesaikan tuntutan itu secara baik mengikut saranan mahkamah sebelum ini.

Perbicaraan kes itu sebelum ini ditetapkan pada 1, 14, 28, 29 dan 30 November, selepas Kalsom meminda pernyataan tuntutan, antaranya membabitkan perkataan hartanah di Boston, Amerika Syarikat yang dibuang.

Selain itu, saham dalam syarikat Rantai Wawasan, isu sumbangan tidak langsung berkaitan penjagaan Jamaludin semasa sakit kaki dan isu berkaitan tanah di Gombak dimasukkan dalam pernyataan tuntutan yang dipinda.

Pada 4 April 2015, Jamaluddin yang juga bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, ketika itu berusia 64 tahun, bersama lima lagi maut apabila helikopter dinaiki dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih.

Turut maut juruterbangnya, Kapten Clifford William Fournier, Ketua Setiausaha Sulit bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Azlin Alias; ahli perniagaan, Datuk Tan Huat Seang, pegawai peribadi Jamaludin, Razakan Seran serta seorang wanita dikenali Aidana Baizieva.

Loading...
Terkini