comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Yasin fail representasi keempat kaji tuduhan dadah

Yasin akan memfailkan representasi keempat kepada Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat bagi mengkaji tiga pertuduhan kes dadah dihadapinya. – FOTO: NSTP

PETALING JAYA: Penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman, akan memfailkan representasi keempat kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam masa terdekat bagi mengkaji tiga pertuduhan kes dadah dihadapinya.

Peguam bela Muhammad Yasin, Ariff Azami Hussein berkata, pihaknya memfailkan representasi itu atas arahan anak guam selepas representasi ketiga atas tujuan sama ditolak dua hari lalu.

Pasukan pembelaan tiada niat untuk melengahkan prosiding dengan memfailkan representasi, sebaliknya yakin pertuduhan terhadap Muhammad Yasin boleh diusaha dan diselesaikan tanpa melalui perbicaraan.

“Sebagaimana dimaklumkan bahawa hari ini dan esok adalah perbicaraan. Untuk makluman mahkamah, kami ada masukkan representasi ketiga pada 1 Mac lalu dan malangnya kami terima jawapan dua hari lalu bahawa ia ditolak.

“Oleh itu, kami mendapat arahan anak guam memasukkan representasi keempat. Kami memaklumkan kepada pendakwaan mengenai hasrat berkenaan semalam.

“Difahamkan mereka tiada bantahan supaya bicara hari ini dan esok dilapangkan sementara representasi keempat dimasukkan serta dipertimbangkan.

“Kami mohon respon pendakwaan mengenai permohonan ini,” katanya ketika sebutan kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Nik Nasimah Nik Mohammad, hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asnawi Abu Hanipah, mengesahkan tidak membantah permohonan berkenaan.

Hakim kemudian menetapkan 31 Mei, 1 dan 2 Jun ini untuk perbicaraan kes berkenaan.

Penyanyi nasyid itu didakwa memberikan dirinya dadah jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di pejabat narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pada jam 11.05 malam, 24 Mac tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15 (1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.

Muhammad Yasin juga didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram dan menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah dan daripadanya kanabis, di kediamannya di Persiaran Surian, Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini, jam 5.30 petang, pada tarikh sama.

Pertuduhan memiliki dadah mengikut Seksyen 6 ADB dan boleh dipenjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh disebat tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan menanam pokok kanabis, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 6B (1) (a) ADB dan boleh dipenjara seumur hidup serta sebat tidak kurang enam sebatan, jika sabit kesalahan. — BERITA HARIAN

Loading...
Terkini