comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Yasin terkilan, sedih keputusan Jabatan Peguam Negara berkait kes dadah

FOTO: NSTP

PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi dikemukakan penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman bagi mengkaji tiga pertuduhan kes dadah dihadapinya.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asnawi Abu Hanipah, berkata surat rasmi berhubung keputusan semalam itu bagaimanapun belum dikeluarkan kepada pihak pembelaan penyanyi terkenal dengan lagu Mimpi Laila berkenaan.

“Saya percaya prosiding seterusnya ialah tarikh perbicaraan, bermula 6 Mac depan,” katanya pada prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Nik Nasimah Nik Mohammad, hari ini.

Peguam komposer berkenaan, Ariff Azami Hussein, mengesahkan pihaknya sudah dimaklumkan mengenai keputusan penolakan itu.

“Kami mengucapkan terima kasih walaupun belum menerima makluman mengenai perkara itu secara bertulis atau e-mel. Kami sudah bincang dengan anak guam dan mendapat arahan terkini untuk memfailkan representasi kedua.

“Keputusan representasi itu dicadangkan dalam tiga ke empat minggu akan datang dan kami akan memasukkan permohonan representasi itu selewat-lewatnya dua minggu dari hari ini,” katanya.

Hakim kemudian menetapkan 20 Februari depan untuk sebutan representasi kedua berkenaan.

Sementara itu, Ariff Azami ketika ditemui di luar mahkamah, berkata representasi pertama yang ditolak semalam, tidak bermakna representasi seterusnya akan menerima nasib sama.

“Representasi kedua ada perubahan terma dengan menambah baik isi kandungannya, termasuk isu perubatan serta luahan isi hati Muhammad Yasin,” katanya.

Muhammad Yasin pula menegaskan, dia sendiri akan menulis representasi kedua itu, sambil menzahirkan rasa terkejut, terkilan dan sedih dengan keputusan AGC.

“Saya akan terus berjuang. Apabila tuhan cakap ‘kun faya kun’ bermaksud ‘jadilah, maka ia akan berlaku’,” katanya.

Sebelum ini, mahkamah menetapkan perbicaraan kes Muhammad Yasin selama 15 hari bermula 6 Mac tahun depan.

Penyanyi nasyid itu didakwa memberikan dirinya dadah jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di pejabat narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pada jam 11.05 malam, 24 Mac lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15 (1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.

Muhammad Yasin juga didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram dan menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah dan daripadanya kanabis, di kediamannya di Persiaran Surian, Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini, jam 5.30 petang, 24 Mac lalu.

Pertuduhan memiliki dadah mengikut Seksyen 6 Akta ADB dan boleh dipenjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh disebat tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan menanam pokok kanabis, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 6B (1) (a) ADB dan boleh dipenjara seumur hidup serta sebat tidak kurang enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Loading...
Terkini