JOHOR BAHRU: Seorang maut, dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal, sebuah kereta dan sebuah lori treler, di kilometer 69.5 Lebuhraya Utara Selatan, berhampiran susur keluar Machap, pagi tadi.
Mangsa, penunggang motosikal berusia 33 tahun manakala dua yang cedera adalah pemandu dan penumpang kereta jenis Honda Civic.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Johor, kemalangan dilaporkan berlaku jam 7.43 pagi.
Susulan itu, dua buah jentera dari balai bomba Ayer hitam bersama 12 anggota dikejarkan ke lokasi kemalangan diketuai Pegawai Bomba Kanan I, Abd Rahim Razali.
“Sebaik tiba mendapati seorang lelaki yang menunggang motosikal disahkan telah meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akibat cedera parah,” katanya.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, pemandu dan penumpang Honda Civic turut mengalami kecederaan.
“Pemandu cedera dan tersepit di tempat duduk dan anggota bomba terpaksa menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa,” tambahnya lagi.
Manakala penumpang turut cedera dihantar ke hospital untuk menerima rawatan oleh orang awam yang berada di lokasi kemalangan.
Bagaimanapun, pemandu lori treler jenis Volvo berusia dalam lingtkungan 40-an tidak mengalami sebarang kecederaan.
Punca sebenar kemalangan, masih dalam siasatan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.