
KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan telah menyita 10 ekor ayam dan tujuh ekor itik dalam Ops Sitaan yang dilaksanakan pada Selasa.
DBKL menerusi hantaran di Facebooknya berkata, perkara itu bertitik tolak aduan awam diterima pihaknya mengenai sebuah premis yang terletak di Jalan 2/3A, Pusat Bandar Utara kerana memelihara seekor kambing di dalam premis.
“Siasatan mendapati benar dan tindakan lanjut telah dipanjangkan kepada Unit Kawalan Pest. Hasil lawatan dan pemeriksaan susulan pada 30 Mei 2023 jam 3 petang mendapati tiada lagi kambing di premis tersebut.
“Bagaimanapun terdapat ayam dan itik hidup di premis tersebut sehingga menimbulkan kacau ganggu bau busuk.
“Adalah menjadi kesalahan memelihara haiwan hidup di dalam premis di bawah Akta Kerajaan Tempatan kerana boleh menyebabkan kacau ganggu,” katanya.
Kata DBKL, satu Notis Akta Kerajaan Tempatan di bawah Seksyen 82 telah dikeluarkan kepada pemilik atau wakil premis berkuatkuasa serta merta.
“Pemilik atau wakil diberi tempoh empat hari untuk menuntut haiwan sitaan di Unit Kawalan Pest, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL,” katanya.