PUTRAJAYA: Sebanyak 10 daripada 100 kontena mengandungi pelbagai sumbangan bantuan, berjaya dibawa masuk dan diagihkan kepada penduduk Gaza.
Berita gembira itu dikongsikan Ketua Misi Bantuan Kecemasan 100 Kontena Malaysia ke Gaza, Dr Sani Araby Abdul Alim Araby yang memaklumkan 10 kontena terbabit dibawa masuk secara berperingkat.
“Daripada jumlah yang dibenarkan pihak yang memegang kawasan di Rafah yang disekat ini, kita menerima laporan, gambar, video sebagainya, 10 kontena daripada rakyat Malaysia yang di’flag off’ oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi), berjaya masuk ke dalam Gaza.
“Dua kontena sudah dibawa masuk ke Gaza bulan lalu manakala lapan lagi berjaya dibawa masuk pada hari Jumaat, minggu lalu dan bantuan yang terdapat di dalam kontena itu, diagihkan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelepasan Konvoi Misi Jelajah Peduli Ummah: Sejahtera Insan Al-Falah di sini, hari ini yang disempurnakan Oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.