comscore
Tumpuan :
Nasional

10 Nelayan Dakwa Dihalau Pihak Berkuasa Singapura

ISKANDAR PUTERI: Sekumpulan 10 nelayan tempatan mendakwa dihalau pihak berkuasa Singapura ketika memasang jaring udang di kawasan Pasir Laba, berhampiran Jambatan Link Kedua di sini, petang semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang apabila mereka dihalau menggunakan pembesar suara dari bot pihak berkuasa negara jiran itu, walaupun masing-masing berada dalam perairan negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad, mengakui kesal dengan tindakan pihak berkuasa Singapura itu apabila lagi kumpulan nelayan berkenaan mendakwa dihalau dengan kata-kata kesat.

“Apa yang dikesalkan adalah kawasan nelayan itu ingin melabuhkan pukat masih dalam perairan negara di Selat Johor, sebaliknya bot peronda republik itu sebenarnya menceroboh masuk ke sempadan negara.

“Kumpulan nelayan juga mempunyai bukti video yang mereka masih berada di kawasan sempadan negara, selain turut merekodkan provokasi pihak berkuasa Singapura terhadap mereka,” katanya.

Pandak berkata, satu laporan polis juga dibuat kumpulan nelayan terbabit di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri kira-kira jam 2.30 petang tadi susulan kejadian berkenaan.

Terdahulu, dua video nelayan berdurasi dua minit dan 43 saat tular di media sosial menyebabkan rakyat negeri ini marah dan mahukan pihak berkuasa negara mengambil tindakan tegas atas pencabulan kedaulatan negara.

Dalam pada itu, Pandak berharap pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan hak nelayan yang mencari rezeki di kawasan perairan negara tidak dianiaya.

“Saya difahamkan kejadian sama sudah beberapa kali berlaku, namun nelayan hanya mengambil tindakan mendiamkan diri sebelum ini supaya tidak menjejaskan mereka,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis mengenai kejadian itu. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini