comscore
Tumpuan :
Nasional

10 premis jual kenderaan terpakai disimbah asid

Foto hiasan

GEORGE TOWN: Polis menerima 11 laporan berhubung kejadian premis menjual kenderaan terpakai di kawasan Green Lane dan Pulau Tikus, disimbah asid sehingga menyebabkan kerosakan pada kenderaan yang dijual di situ.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu bermula awal bulan ini sehingga beberapa hari lalu membabitkan 10 premis menjual kenderaan terpakai.

“Ada (premis) yang dua kali disimbah asid, polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu.

“Polis tidak menolak kemungkinan kejadian menyimbah asid sehingga merosakkan kenderaan yang dijual di premis itu dilakukan oleh pihak atau suspek yang sama dan usaha mengesan mereka yang terbabit giat dijalankan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, semua pemilik premis menjual kenderaan terpakai itu mendakwa mereka tidak berhutang dengan along, bermusuh, bergaduh atau perselisihan faham dengan mana-mana pihak sehingga premis mereka disimbah asid.

Soffian berkata pihak polis juga sedang menjalankan siasatan lanjut punca sebenar kejadian itu dan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di kawasan kejadian bagi mengesan suspek.

Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi pihak polis bagi menyalurkan maklumat. – BERNAMA

Loading...
Terkini