KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merobohkan struktur haram di rezab jalan awam serta menyita barangan perniagaan di sekitar Segambut semalam.
DBKL dalam hantaran di media sosial berkata hasil operasi yang dijalankan, 10 premis yang membina struktur tambahan sehingga menutup longkang dan laluan awam dirobohkan.
“Dua lagi pemilik premis berjanji untuk membuka sendiri struktur sambungan di premis mereka serta membersihkan semua halangan di tempat awam.
“Selain itu, sebanyak tujuh kes sitaan serta-merta dilaksanakan atas kesalahan meletakkan barangan perniagaan di tempat awam di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 serta satu notis kompaun di bawah UUK Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016,” katanya.
Katanya, seunit rumah yang diubahsuai tidak selaras dengan pelan yang diluluskan oleh DBKL dan dibina di atas rezab jalan awam juga dirobohkan.
“Sisa struktur yang dirobohkan dilupuskan oleh DBKL selepas operasi tamat. Kesemua barangan yang disita pula dibawa ke Setor Sitaan Jalan Lombong, Taman Miharja, Cheras untuk tindakan rekod dan dokumentasi,” katanya.
Operasi ini turut disertai Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Elektrikal, Jabatan Pengangkutan Bandar, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar serta Pejabat DBKL cawangan Segambut.
Agensi lain yang turut terbabit adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Syarikat Bekalan Air Selangor (Air Selangor), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam serta Alam Flora.
DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang dikenal pasti. Sebarang aduan, boleh berhubung atau menyalurkan maklumat di https://adukl.dbkl.gov.my/.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.