comscore
Tumpuan :
Nasional

10 syarikat diberi tempoh 4 hari beri alasan kenaikan harga

Foto: NSTP

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

PETALING JAYA: 10 syarikat yang dipanggil oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) diberikan tempoh empat hari bekerja untuk memberikan alasan mengapa mereka menaikkan harga perkhidmatan.

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh, berkata notis telah dikeluarkan oleh KPDN di negeri masing-masing.

“Mereka perlu buktikan banyak mana keuntungan yang mereka buat, mereka juga perlu beri kita (KPDN) maklumat mengenai keuntungan yang mereka buat tahun lepas, dua tahun lepas pada tarikh yang sama.

“Mereka juga perlu beritahu kita kos bahan mentah, kos operasi, kos pengeluaran, kos tenaga, kos pengangkutan sehinggalah pengiraan kepada harga runcit tersebut,” katanya ketika dihubungi Buletin TV3.

Tambahnya, tindakan undang-undang juga akan diambil jika KPDN mendapati terdapat elemen pencatutan oleh syarikat berkenaan.

Semalam, dilaporkan KPDN memanggil 10 syarikat kerana menaikkan harga barang dan perkhidmatan selepas pelaksanaan subsidi diesel bersasar pada Isnin lalu.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata notis telah dikeluarkan kepada syarikat terbabit mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Syarikat berkenaan meliputi pelbagai sektor, termasuk tiga dari pengangkutan, tiga dari bahan binaan, dua dari makanan dan minuman dan dua dari penyewaan mesin.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini