comscore
Tumpuan :
Nasional

10 tanah kereta api bernilai RM2 bilion ditawar kepada pemaju swasta

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengadakan sidang media pada Pameran Hartanah RAC 2023 dan Majlis menandatangani Perjanjian bagi Pembinaan Stesen Kereta Api Segambut 2 antara RAC dan IDP Industrial Development Sdn Bhd di JW Marriot Hotel, Kuala Lumpur. Foto : NSTP

KUALA LUMPUR: Sejumlah 10 tapak tanah bernilai lebih RM2 bilion milik Perbadanan Aset Keretapi (RAC) di enam buah negeri akan ditawarkan kepada pihak swasta.

Ia adalah untuk dibangunkan dengan pelbagai pelaburan menarik, yang dijangka mampu memberi pulangan besar kepada sumber pendapatan negara.

Aset bernilai itu terletak di Selangor, Perlis, Johor, Kelantan, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata buat pertama kali RAC akan mengadakan pameran hartanah yang akan mempamerkan tanah-tanah bernilai tinggi, khas untuk dinilai bagi tujuan pelaburan oleh syarikat swasta terkemuka negara.

Katanya, tanah-tanah persekutuan itu akan ditawarkan kepada pihak swasta untuk dibangunkan secara komersial yang bukan sahaja menjana pendapatan negara tetapi memberi manfaat infrastruktur kepada masyarakat setempat.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke melawat Pameran Hartanah RAC 2023 dan Majlis menandatangani Perjanjian bagi Pembinaan Stesen Kereta Api Segambut 2 antara RAC dan IDP Industrial Development Sdn Bhd di JW Marriot Hotel, Kuala Lumpur. – Foto : NSTP

“Setakat ini, kita sudah ada 30 syarikat besar, tersenarai dalam Bursa Malaysia untuk melihat potensi aset berkenaan,” katanya di Pameran Hartanah Perbadanan Aset Keretapi (RAC) 2023 dan Majlis Menandatangani Perjanjian Bagi Pembinaan Stesen Kereta Api Segambut 2 Antara RAC dan IDP Industrial Development Sdn. Bhd.

Yang turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh merangkap Ahli Parlimen Segambut; Timbalan Menteri Kementerian Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, Ketua Setiausaha kementerian; Datuk Jana Santhiran Muniayan; dan Ketua Pegawai Eksekutif RAC, Azhar Ahmad.

Mengulas lanjut, Anthony berkata pelaburan itu juga adalah pendekatan baharu yang dilaksanakan oleh RAC dan kerajaan, berbanding kaedah ‘direct nego’ dalam pelaburan berkaitan aset kerajaan.

“Kaedah ini juga lebih telus disamping memaksimumkan pulangan besar kepada kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, antara aset yang paling bernilai tinggi milik RAC adalah di Kempas, Johor baharu yang ditawarkan untuk pembangunan komersial yang bernilai tinggi.

“Kita merasakan satu kerugian sekiranya tanah di situ dijadikan depo sahaja sebaliknya ia begitu sesuai untuk pembangunan komersial,” katanya.

Katanya, pembangunan yang ditawarkan di tanah milik RAC perlu berasaskan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) iaitu kemudahan yang menghubungkan rakyat menggunakan kenderaan awam sebagai salah satu usaha mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian.

Menyentuh mengenai perjanjian antara RAC dan IDP, projek pembangunan di Segambut itu dirancang sejak bertahun-tahun lamanya tetapi salah satu syarat kelulusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) adalah keperluan untuk membina sebuah stesen kereta api baharu bagi menghubungkan penduduk dan stesen itu.

“Perbincangan ini mengambil masa selama lima tahun dan beberapa bulan lalu, Hannah meminta MOT untuk melakukan perbincangan semula pemaju dan satu keputusan sudah dimuktamadkan,” katanya.

Dalam perkembangan itu, ditanya mengenai jaminan tiada pertukaran hak milik tanah termasuk kaedah ‘land swap’ kepada pihak swasta, Anthony menjelaskan terdapat banyak lagi kaedah yang lebih menguntungkan kerajaan seperti menyewa pada tempoh yang munasabah yang boleh memberi keuntungan kepada pemaju dan kerajaan.

Dalam pameran berkenaan, RAC akan mempamerkan 10 tapak yang terletak di enam negeri dengan keluasan 369.452 ekar, bernilai RM2.056 bilion ditawarkan dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar sekitar RM26.194 bilion.

Loading...
Terkini