KUALA LUMPUR: Panik melihat kehadiran pihak berkuasa menyebabkan ada pelayan khidmat pelanggan (GRO) warga tempatan dan individu lain melarikan diri dan bersembunyi di dalam laluan rahsia di sebuah pusat hiburan Jalan Kuchai Lama, Jalan Klang Lama, di sini, awal pagi ini.
Bagaimanapun tindakan mereka itu gagal apabila disedari anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur yang melancarkan serbuan Op Noda jam 3.30 pagi.
Serbuan Op Noda KL Strike Force membabitkan tiga pegawai dan 25 anggota D7 JSJ Kuala Lumpur diketuai Asisten Superintendan Khairul Fairoz Rodzuan dibantu sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Brickfields, Jabatan Imigresen Kuala Lumpur dan Pelesenan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hasil risikan dan maklumat orang awam.
Sepanjang operasi, polis memeriksa dan menjalankan dokumentasi terhadap 103 individu berusia 23 hingga 53 tahun.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, polis menahan 10 individu iaitu seorang wanita tempatan berperanan sebagai penjaga premis serta sembilan lelaki warga asing yang bekerja sebagai pelayan di pusat hiburan berkenaan.
“Semakan mendapati warga asing itu terdiri daripada lima Bangladesh, tiga Myanmar dan seorang Kemboja di mana mereka menerima gaji RM1,500 sebulan.
“Ujian air kencing dilakukan turut mendapati tiga lelaki tempatan positif dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rusdi berkata, polis turut merampas peralatan audio selain resit perniagaan.
“Kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields untuk disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan (AHWP) 1992 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.