KENINGAU: 10 termasuk dua kanak-kanak cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Kolej Vokasional, di sini, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan menerima laporan kemalangan itu pada jam 12.29 tengah hari.
Susulan itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau dikerahkan ke tempat kejadian.
“Setiba di lokasi, pasukan operasi mendapati kemalangan membabitkan dua kenderaan jenis Perodua Alza yang terbakar 100 peratus di bahagian enjin akibat kemalangan dengan Ford Ranger.
“Sembilan individu membabitkan tujuh dewasa dan dua kanak-kanak berusia lima hingga 45 tahun yang menaiki Perodua Alza cedera manakala pemandu Ford Ranger turut cedera,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Keningau menggunakan jentera Unit Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS).
“Pasukan bomba bertindak memadam kebakaran dengan menggunakan satu aliran hos dan alat pemadam api.
“Seterusnya memberikan rawatan awal kepada mangsa yang cedera sebelum dihantar ke hospital,” katanya.
Tambahnya, operasi terkawal pada 1.25 tengah hari dan operasi tamat lima minit kemudian.