KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) bersetuju sepenuhnya dengan 10 tuntutan dikemukakan oleh kerajaan Sarawak dalam memperkukuhkan pendidikan di negeri itu.
KPM dalam kenyataan hari ini, berkata tuntutan itu termasuk usaha mengukuhkan pembabitan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) serta kebenaran mengambil guru Contract of Service (CoS) tertakluk kepada pelantikan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).
Selain itu, pelaksanaan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berdasarkan keperluan atau keutamaan dan pembabitan dalam perancangan projek pembangunan pendidikan.
“KPM turut bersetuju memberi perwakilan kuasa melulus projek penyelenggaraan sekolah yang dibiayai oleh kerajaan Sarawak atau mana-mana pihak lain selain, KPM kepada Pengarah Pendidikan Negeri, tertakluk kepada garis panduan yang sedang berkuat kuasa.
“Pihak kementerian juga optimis hasil Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam dapat memperkukuhkan lagi pendidikan di Sabah dan Sarawak.
“Antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat itu, termasuk mengenai keperluan merunding dengan Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak untuk melantik pegawai pendidikan daerah, pengetua dan guru besar bagi mengisi kekosongan dan pemangkuan jawatan sebelum Menteri Pendidikan membuat kelulusan seperti yang termaktub dalam Akta Pendidikan 1996 (Akta 550),” katanya.
Katanya, KPM, kerajaan Sabah dan Sarawak bekerjasama erat bagi memastikan pendidikan di kedua-dua negeri dapat terus dipertingkatkan dalam ruang lingkup semangat kesatuan MA63.
“Untuk rekod, mesyuarat JTBPP Negeri Sarawak diadakan pada Februari lalu, manakala Mesyuarat JTBPP negeri Sabah pula akan berlangsung pada bulan Oktober depan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.