comscore
Tumpuan :
Nasional

100 kg beras Jualan Rahmah dijual tidak sampai satu jam

HIDAYU (kanan) melihat harga beras import yang dijual pada Jualan Rahmah.- Foto: NSTP

KULAI: 100 kilogram Beras Putih Import habis dijual dalam masa tidak sampai sejam dalam Jualan Rahmah di Target IOI Mall di sini, hari ini.

Hasil tinjauan di pasar raya itu mendapati beras import (jenama terpilih) lima kilogram dijual pada harga RM14.99 berbanding harga asal RM20.89.

Manakala beras import 10 kilogram dijual pada harga RM29.99 berbanding harga asal RM39.80.

Difahamkan terdapat 13 lokasi Parlimen seluruh negeri ini menjalankan Jualan Rahmah termasuk beras import dijual pada harga Rahmah pada hari ini dan esok.

Peniaga warung, Mohd Aril Abdullah, 38, berkata, dia datang seawal 8.30 pagi tadi untuk membeli beras pada harga Rahmah, walaupun pasar raya hanya dibuka pada jam 9 pagi.

“Alhamdulillah dapat juga kami beli beras pada harga yang jauh lebih murah. Saya datang jam 8.30 pagi pun orang ramai sudah beratur.

“Membantu sangat jualan seperti ini kerana saya peniaga kecil, berniaga makanan warung tepi jalan di Saleng. Beras tempatan sukar hendak cari, apabila ada yang murah tidak kira jenama kita akan beli.

“Saya jual nasi putih pada harga RM2, itu pun kalau pelanggan minta nasi lebih memang saya tidak kenakan bayaran sebab yang membeli dekat warung ini pun bukan orang senang. Sambil bersedekah,” katanya ketika ditemui hari ini.

Sementara itu, pengunjung pasar raya, Hidayu Azman, 34, berkata, jualan itu dapat menjimatkan perbelanjaan dapur, malah harga yang ditawarkan jauh lebih murah.

Katanya, pihak pasar raya juga meletakkan had pembelian iaitu hanya 10 kilogram bagi satu keluarga.

“Bila letak had pembelian ini, semua boleh beli. Kalau tidak letak had nanti orang belakang tidak dapat beli.

“Memang terasa naik mendadak harga beras, bulan lalu sebelum harga beras naik, kami beli beras 10 kilogram pada harga RM28. Sekarang kalau lihat harga ada yang mencecah RM42,” katanya.

Semalam, Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali dilaporkan berkata, pihaknya akan mengadakan jualan beras import pada harga Rahmah di setiap program Jualan Rahmah di seluruh negara, bermula hari ini.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini