comscore
Tumpuan :
Nasional

100 majikan berhimpun di KDN esok rayu lanjutkan RTK 2.0

PUTRAJAYA: Selepas beberapa kali merayu supaya tempoh pembayaran bagi mendaftarkan pekerja asing menerusi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 dilanjutkan, kira-kira 100 majikan akan mengadakan perhimpunan aman di hadapan Kementerian Dalam Negeri (KDN) esok.

Menerusi surat yang dialamatkan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bertarikh 19 September lalu, kumpulan majikan terbabit mengadakan perhimpunan aman bagi meluahkan kebimbangan dengan tindakan Jabatan Imigresen Malaysia yang didakwa menghentikan sistem pembayaran berkenaan tanpa sebarang notis.

Surat yang ditandatangani dua wakil majikan itu menyatakan harapan mereka supaya KDN dapat mengambil maklum permasalahan dihadapi mereka kerana tindakan terbabit memberi kesan langsung kepada perniagaan serta sektor tenaga buruh di negara ini.

Sebelum ini, kumpulan majikan berkenaan pernah hadir ke Pejabat Imigresen Putrajaya bagi menghantar surat rayuan memohon supaya Jabatan Imigresen mempertimbangkan permintaan mereka.

Wakil kepada majikan terbabit, Rewathi Rajendran, 44, mendakwa kebanyakan majikan yang tidak dapat membuat bayaran RTK 2.0, berdepan kerugian kerana tidak dapat mendaftarkan pekerja mereka.

“Ada dalam kalangan majikan yang sudah membayar levi dan bayaran lain seperti Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA) serta insurans, namun tidak dapat membayar proses seterusnya untuk RTK kerana sistem sudah tidak lagi berfungsi.

“Kami bukan nak kerajaan bantu bayarkan, kami cuma mahu kerajaan khususnya Jabatan Imigresen aktifkan semula sistem pembayaran untuk RTK,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan tidak akan melanjutkan proses verifikasi pekerja asing kepada semua majikan yang mendaftar di bawah Program RTK 2.0 sebelum 31 Mac ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata majikan yang memerlukan tenaga kerja asing diminta untuk menyegerakan permohonan berkenaan selepas proses pengambilan pekerja asing sudah dipermudahkan.

Malah, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum ini mengumumkan bahawa kuota yang tidak digunakan untuk mengambil pekerja asing akan dibatalkan pada 1 Jun.

Kuota aktif untuk mengambil pekerja asing, yang mana levi sudah dibayar tetapi Visa Dengan Rujukan (VDR) belum dikeluarkan pada akhir Mac juga akan dibatalkan.

Bagaimanapun, berdasarkan notis dikeluarkan Jabatan Imigresen sebelum ini, tarikh akhir bagi pembayaran urusan program RTK ialah pada 28 Julai lalu bagi pembayaran secara dalam talian dan 29 Julai untuk pembayaran di kaunter.

Mengulas lanjut, Rewathi berkata, disebabkan urusan pembayaran RTK tidak dapat dibuat, majikan terpaksa menanggung kerugian kerana sudah membuat pembayaran FOMEMA, insurans dan sebagainya.

“Ada majikan yang dapat kelulusan RTK pada 7 Ogos lalu namun keesokannya sistem untuk pembayaran sudah ditutup. Proses memohon RTK juga lama kerana kami perlu memohon kuota (pekerja asing) terlebih dahulu daripada kementerian berkaitan.

“Kami mohon sangat beri kami ruang untuk buat pembayaran, bukan kami tak mahu bayar awal, tapi kami juga kena cari duit untuk selesaikan pembayaran yang diperlukan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini