Tumpuan :
Nasional

1,000 pengguna gadai nyawa guna laluan sementara tidak selamat

Laluan sementara untuk menyeberangi Sungai Bawang tidak lagi selamat digunakan penduduk tujuh kampung. – FOTO: NSTP

TAMPARULI: Lebih 1,000 penduduk dari tujuh kampung di daerah ini bergadai nyawa menggunakan laluan sementara yang tidak selamat selepas jambatan bailey menyeberangi Sungai Bawang musnah akibat banjir besar enam bulan lalu.

Laluan sementara itu dibina untuk memudahkan penduduk Kampung Bawang, Kiwoi, Togop, Lingga, Bambangan Lama, Namadan dan Rangalau Lama keluar masuk.

Turut menggunakan laluan itu ialah tenaga pengajar serta murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bawang, SK Togop, SK Lingga dan SK Rangalau Lama.

Bagaimanapun, pembinaan jambatan baharu menyeberangi sungai itu belum bermula, memaksa penduduk terbabit menggunakan laluan sementara walaupun sedar risiko bahaya memandangkan ketiadaan jalan lain.

Tinjauan mendapati laluan sementara itu dibina berhampiran jambatan yang musnah mengalami mendapan serius berpunca tanah atas permukaan jalan lembut, selain bahagian pangkal jalan mudah terhakis setiap kali paras sungai meningkat.

Penduduk, Julaimin Abdullah, 66, berkata, laluan sementara itu sudah beberapa kali mendap dan hakisan yang boleh memberi risiko runtuh, namun hanya dibaiki semula kontraktor.

“Keadaan fizikal laluan sementara itu yang dibina atas beberapa saluran air besar cukup berbahaya kepada lalu lintas jika tidak berhati-hati ketika melaluinya kerana struktur binaannya tidak kukuh.

Penduduk, Edwin John, 52, mengakui penyediaan laluan sementara itu mengurangkan kesulitan penduduk tujuh kampung terjejas dapat keluar masuk dengan lancar menggunakan kenderaan.

“Namun, timbul masalah lain yang mengancam keselamatan penduduk apabila kemudahan itu menjadi tidak selamat digunakan kerana struktur laluan sementara itu semakin tidak kukuh,” katanya.

Sementara itu, ADUN Tamparuli, Datuk Jahid Jahim berkata, ketika kejadian Julai tahun lalu, jambatan itu sedang dalam kerja naiktaraf sejak Mac dan dijadualkan siap September 2025.

“Apa yang berlaku atas kemudahan itu luar jangkaan, namun akan membina semula kemudahan baharu di lokasi sama selepas semua urusan berkaitan selesai,” katanya.

Beliau berharap penduduk dapat bersabar kerana jambatan yang musnah itu akan diganti baharu lebih selamat untuk kemudahan penduduk dari tujuh kampung terbabit.

Loading...
Terkini