comscore
Tumpuan :
Nasional

101 penuntut UTM daftar di Fakulti AI pertama negara

Dr Ali menyerahkan kunci bilik kepada pelajar yang mendaftar di Kolej Rahman Putra, UTM Johor Bahru semalam. – Foto ihsan UTM

JOHOR BAHRU: Seramai 101 penuntut menjadi kumpulan perintis bagi mengikuti pengajian di Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI) pertama negara di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTM, Prof Dr Ali Selamat berkata, mereka antara 3,154 penuntut baharu yang mendaftar ke UTM bagi pengajian Sarjana Muda Sepenuh Masa bagi sesi akademik 2024/2025 mulai semalam.

Beliau berkata, daripada jumlah itu seramai 2,977 penuntut mendaftar pengajian di kampus UTM Johor Bahru dan 177 lagi di kampus UTM Kuala Lumpur.

Menurutnya, tiga fakulti utama merekodkan jumlah penuntut tertinggi iaitu Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) dengan seramai 503 penuntut, Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) (357) dan Fakulti Sains (FS) seramai 343 penuntut.

Katanya, FAI yang baharu ditubuhkan pula bakal menerima 101 penuntut bagi kohort pertama dan bakal mengikuti program Sarjana Muda AI dengan Kepujian selama tiga tahun di UTM Kuala Lumpur.

“Seramai 986 penuntut antarabangsa dari 37 negara bakal mengikuti pengajian di UTM untuk sesi akademik baharu ini dengan China mencatat jumlah tertinggi iaitu 497 penuntut diikuti Sudan (140) dan Indonesia (84).

“Bagi mempertingkatkan kecekapan dan memudahkan proses pendaftaran penuntut baharu, UTM turut melaksanakan buat pertama kalinya modul e-Daftar dan e-Hostel melalui aplikasi UTMSmart yang dibangunkan sepenuhnya oleh kepakaran dalaman.

“Penuntut yang menerima tawaran boleh membuat prapendaftaran secara dalam talian dan proses ini membabitkan penghantaran dokumen penting bagi tujuan pendaftaran awal, permohonan kad matrik dan penetapan kolej kediaman dibuat melalui sistem ini.

“Selain itu, tempoh pendaftaran pada hari ini turut dipendekkan apabila penuntut sudah mengetahui nama kolej kediaman masing-masing melalui sistem terbabit dengan mengimbas kod QR melalui aplikasi UTMSmart,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini